Crocodile Farm Teluk Sengat

Jika anda teringin melihat pelbagai jenis buaya yang begitu banyak bilangannya iaitu melebihi 1000 ekor, bolehlah datang ke Taman Buaya Terbesar di Semenanjung Malaysia yang terletak di Teluk Sengat, Kota Tinggi Johor. Kehadiran anda ke sini pasti memberikan satu kenangan yang paling menarik buat anda dan keluarga anda.

Bayaran masuk ke dalam Taman Buaya ini adalah sebanyak RM8.00 untuk orang dewasa dan RM4.00 untuk kanak-kanak.

Taman Buaya ini dibina di dalam kawasan ladang kelapa sawit berhampiran sungai Johor. Mengikut cerita, pemilik Taman Buaya ini telah dihadiahkan seekor anak buaya oleh seorang penduduk di Teluk Sengat ini yang mana tersangkut di pukat ikannya. Bermula dari situlah dia berminat untuk memelihara lebih banyak lagi buaya sehinggalah berjaya mengumpulkan lebih 1000 ekor buaya di dalam kawasan ladang kelapa sawit miliknya sendiri.

Saya mula mengetahui tentang kewujudan Taman Buaya ini melalui satu email yang dikirimkan oleh seorang kawan pada awal tahun ini. Saya begitu teruja melihat gambar-gambar buaya di dalam email itu. Sungguh saya tidak menyangka yang negeri Johor juga mempunyai Taman Buaya yang begitu besar dan banyak sekali buaya yang dipelihara di dalamnya.

Setelah datang dan melihat sendiri buaya-buaya di sini, barulah terasa puas sekali dan memang teruja yang amat sangat. dek kerana itu,jari-jemari saya tidak lekang mengambil gambar buaya-buaya dan pemandangan di sekitar Taman Buaya ini.

Tidak banyak gambar yang saya ingin kongsikan di sini kerana kebanyakannya lebih kurang sama sahaja. Walaupun buaya mempunyai berbagai-bagai jenis tetapi amat sukar untuk membezakannya dengan mata kasar melainkan orang yang begitu arif dengan haiwan reptilia ini.

Terdapat seekor buaya yang berusia melebihi 155 tahun di dalam Taman Buaya ini, yang mana merupakan buaya tertua usianya dikalangan buaya di sini. Kiranya dialah ‘Otai’ di sini.

Jika anda berhajat untuk cuba menyentuh sendiri buaya hidup, anda berpeluang untuk melakukannya di sini. Seorang pekerja di hadapan pintu masuk ditugaskan untuk memegang seekor anak buaya dan memberikan kepada orang ramai peluang untuk menyentuhnya.

Saya amat tertarik dengan telatah seorang pekerja di dalam Taman Buaya ini. Dia menyucuk-nyucuk ke badan buaya menggunakan sebatang kayu yang panjang dengan tujuan untuk membuatkan buaya itu bertindak agresif. Saya rakamkan suasana itu dan telah memuat naik video itu ke YouTube.

Jadi,diharapkan perkongsian pengalaman saya ke Taman Buaya Teluk Sengat ini sedikit sebanyak memberikan gambaran menarik tentang tempat yang boleh saya katakan WAJIB untuk dilawati jika anda datang ke negeri Johor ataupun memang bermaustautin di Johor.

Hot!Buat Duit di Blog

(3180)

About The Author

2 thoughts on “Crocodile Farm Teluk Sengat

  1. Pingback: Jalan-jalan ke Teluk Sengat | Blog Yusri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *